
Laporan/foto: Hafizah Rahim (Terengganu)
KEMAMAN, 20 Sep (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail 2 berjaya menewaskan sembilan sekolah apabila dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Choral Speaking peringkat daerah Kemaman, yang diadakan di Kolej Universiti Tati (TATIUC), di sini pagi tadi.
Sekolah Menengah Agama (SMA) Al- Falah berjaya mendapat tempat kedua manakala SMK Mak Lagam di tempat ketiga.
Menurut guru pembimbing Noor Hafiza Mhd Mashoti, persiapan untuk pertandingan ini dilakukan sebulan lebih awal dan kebiasaannya latihan diadakan pada setiap petang bagi mengelakkan daripada menganggu sesi Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) di sekolah.
“Komitmen yang sangat bagus diberikan oleh peserta dan rakan setugas meskipun terdapat halangan dan rintangan sepanjang latihan dilakukan tetapi setiap pasukan berjaya membuat persembahan yang memukau perhatian penonton,” katanya.
Pertandingan anjuran bersama Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman dengan Bank Kerjasama Rakyat membawa tema literasi kewangan hari ini melibatkan sekolah-sekolah menengah manakala esok sekolah-sekolah rendah.
-ZS-