
Laporan/foto: Mohd Fauzi Mohd Yusoff (Tampin)
GEMENCHEH, 27 Sep (Malaysiaaktif) – Sebanyak 1,000 beg beras putih tempatan pek 10 kilogram (kg) disediakan untuk dijual kepada orang ramai ramai dalam Program Jualan Beras Putih Tempatan Parlimen Tampin telah diadakan di Dataran Kampung Tengah, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa, berkata sebanyak 100 beg akan dihantar ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas dan 100 beg lagi di DUN Gemencheh untuk dijual di Agro Bazaar Kedai Rakyat yang berdaftar di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Ianya bagi memastikan mereka yang tidak hadir boleh mendapatkan bekalan beras putih tempatan pek 10kg ini dijual dengan harga RM26.
“Saya yakin kekurangan bekalan beras tempatan adalah sementara dan di jangka bekalan akan kembali pulih dalam masa terdekat,” katanya.
Menurutnya lagi, keadaan ini berlaku kerana permintaan yang tinggi terhadap beras tempatan kerana orang ramai beralih daripada beras import kepada beras tempatan.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengambil langkah yang tepat mengadakan intervensi bersama FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk membantu memasarkan beras tempatan kepada masyarakat,” katanya.
Turut hadir Ahli DUN Gemencheh Suhaimizan Bizar, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA Faisal Iswardi Ismail dan ketua-ketua jabatan daerah Tampin.
-ZS-