Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Pelajar PJJ UUM Santuni Warga Emas

By 3 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Haraini Jaudee/Suili George (Sabah)

PAPAR, 3 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 11 orang pelajar Pengajian Jarak Jauh (PJJ) Universiti Utara Malaysia (UUM) Cawangan Kota Kinabalu Semester Julai 2023/2024 menyantuni warga emas di Rumah Wargatua Sri Pritchard Kinarut, di sini pada Ahad.

Menurut penasihat program tersebut, Prof. Madya Dr. Mohd. Sohaimi Esa, program seumpama ini besar ertinya kepada pelajar bagi memberi nilai tambah dalam kehidupan.

“Selain medium untuk menyalurkan bantuan, aktiviti gunting rambut dan membersihkan kuku secara percuma kepada warga emas memberikan keunikan tersendiri kerana memfokuskan aspek penjagaan dan kebersihan diri.

“Sebenarnya bertepatan dengan objektif program untuk memberi penghargaan dan menghormati golongan warga emas dengan meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup mereka meliputi aspek jasmani, mental, emosi, dan sosial,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Dalam pada itu, pengerusi program Nur Fatihah Lee menyatakan bahawa lawatan amal ini merupakan kerjasama strategik dengan penglibatan dan sokongan pelbagai pihak termasuk daripada pihak swasta yang beroperasi di Semenanjung Malaysia.

“Semangat perpaduan yang diterapkan dalam jalinan kerjasama ini jelas menunjukkan keunikan kita sebagai rakyat Malaysia dalam mengekalkan budaya menyantuni warga emas selaras matlamat Dasar Warga Emas Negara,” ujarnya.

Program khidmat masyarakat ‘Jalinan MADANI, Komuniti Sejahtera’ diadakan sempena sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan yang disambut pada 1 Oktober setiap tahun.

-ZS-

Tinggalkan komen anda