
Laporan/foto: Muhammad Fandy Azam (Melaka Tengah)
MELAKA, 3 Okt (Malaysiaaktif) – Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2023 menjadi tarikan baharu Negeri Melaka bersempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 yang telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, di sini kelmarin.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Abdul Razak Abdul Rahman, karnival ini telah menghimpunkan lebih 55 ribu orang di serata Malaysia dan sebanyak lebih 41 buah pesawat pelbagai saiz melibatkan tujuh pesawat badan beruniform, 27 pesawat kecil kelab penerbangan, enam paramotor dan satu microlight dipamerkan serta menyaksikan pesawat aerobatik pertama Malaysia, GB1 Gamebird yang dikendalikan oleh bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Kerajaan Negeri Melaka amat mengalu-alukan sokongan dan kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan terutamanya Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan agar dapat menjadikan LTAM ini sebagai lapangan terbang pilihan utama untuk pesawat-pesawat ringan dan persendirian dalam menjayakan TMM 2024.
“Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dan berharap karnival ini dapat membuka mata semua pengiat industri pelancongan akan kejayaan TMM 2024 tahun hadapan seterusnya menjadi kesinambungan kepada kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026,” ujarnya.
-ZS-