
Laporan / Foto : Wan Muhamad Zikri Wan Kamis (Padang Besar)
PADANG BESAR, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Program Semarak Komuniti 1Malaysia (K1M) Peringkat Parlimen Padang Besar di Felca Lubuk Sireh hari ini berjaya menarik kira-kira 500 pengunjung dari kalangan pelbagai kaum.
Program tahunan ini merupakan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Perlis dan 14 buah Komuniti 1Malaysia yang terdapat di kawasan Parlimen Padang Besar.
Pelbagai pengisian diadakan bagi menarik minat pelbagai golongan termasuk kanak-kanak, remaja, belia, dewasa dan warga emas.
Antara pengisian yang diadakan adalah pameran agensi kerajaan dan swasta, pameran dan jualan produk K1M, pertandingan futsal, acara sukan rakyat, pertandingan mewarna dan pertandingan aspek wanita.
Pengerusi Komuniti 1Malaysia Felcra Lubuk Sireh yang terpilih menjadi tuan rumah pada tahun ini, Idris Bin Hashim berkata, sambutan yang diberikan oleh pengunjung amat menggalakkan sekalipun cuaca panas yang melanda negeri ini.
Menurutnya lagi, pengalaman menjadi tuan rumah penganjuran program pada tahun 2009 digunakan sebaiknya pada kali ini bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
Program berakhir dengan jamuan tengahari bersama rakyat yang disumbangkan oleh Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainol Abidin.