Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Jualan Rahmah Terima Sambutan Menggalakkan

By 24 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hanizatul Azwa/Muhamad Amsyar (Hilir Perak)

TELUK INTAN, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Program Jualan Rahmah Kasih Sayang Malaysia Madani yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Medan Selera Jalan Speedy, di sini menerima sambutan yang amat menggalakkan.

Pelbagai jenis barangan keperluan seperti ayam, ikan, minyak masak dan beras boleh didapati dengan harga yang berpatutan malah jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

Pengunjung Aziah Idris, 47, berkata Program Jualan Rahmah yang julung kali diadakan di Teluk Intan ini sangat bermakna buat dirinya.

“Program sebegini sangat bermanfaat kepada golongan yang kurang berkemampuan seperti saya tambahan lagi saya merupakan seorang ibu tunggal dan berpendapatan rendah (B40),” ujarnya.

Manakala bagi pengunjung Raja Lechemi Perumal, 47, mencadangkan agar jualan ini diadakan dengan lebih kerap kerana ia dapat membantu rakyat mengurangkan kos perbelanjaan harian.

“Saya harap jualan ini juga diperluaskan lagi ke kawasan luar bandar supaya penduduk di kampung turut berpeluang untuk hadir,” katanya.

Hasil tinjauan mendapati barangan yang paling mendapat sambutan pembeli ialah beras putih super import 5 kilogram yang dijual pada harga serendah RM12. Jualan beras ini dihadkan hanya satu pek kepada setiap pembeli bertujuan untuk memberi peluang kepada lebih ramai pengunjung mendapatkan bekalan beras tersebut.

-ZS-

Tinggalkan komen anda