
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 10 Jan (Malaysiaaktif) – Kaunter pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Terengganu di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Gong Chengal mendapat sambutan daripada penduduk setempat.
Pegawai Perangkaan Mahani Yusoff, memberitahu kaunter pendaftaran yang dibuka di sini memberi kemudahan kepada penduduk setempat untuk membuat pendaftaran dan mengemas kini maklumat PADU.
“Kemudahan capaian Internet yang pantas di PEDi dapat membantu penduduk kampung terutamanya untuk mengakses portal PADU secara dalam talian tanpa sebarang gangguan capaian.
Bagi yang kurang mahir menggunakan komputer mereka dibantu sekali gus diberi penerangan oleh petugas PEDi untuk melengkapkan maklumat PADU,” katanya.
Bagi pesara polis Rusali Abdul Latif, 64, sistem ini sangat membantu dalam memastikan rakyat yang betul-betul layak mendapat bantuan daripada kerajaan tidak tercicir.
Tambah beliau lagi, pendaftaran secara bersemuka di PEDi sangat membantu golongan buta IT yang tidak tahu menggunakan sistem dalam talian.
-ZS-