Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Thai Ponggal Dirai Sebagai Tanda Kesyukuran

By 17 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: S.Shanmuganathan (Seberang Perai Tengah)

PERAI, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Pesta Menuai yang lebih dikenali sebagai Thai Ponggal disambut dengan meriah di perkarangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai, Taman Chai Leng di sini Isnin lalu.

Sambutan Thai Ponggal yang diadakan setiap tahun pada hari pertama bulan Thai mengikut kalendar Tamil merupakan ritual tanda kesyukuran dan terima kasih kepada Dewa Matahari.

Ponggal bukan sekadar kebudayaan masyarakat India, tetapi menandakan pentingnya sumber alam dan para petani yang membolehkan aktiviti pertanian diteruskan.

Lazimnya menjelang sambutan Ponggal rumah-rumah masyarakat India akan dihiasi dengan batang tebu dan daun mangga di pintu masuk selain lantai rumah diserikan dengan lukisan kolam dari beras berwarna.

Menurut suri rumah V. Manjula, 52, pada hari Ponggal beras akan dimasak bersama-sama susu dan gula perang di dalam periuk tanah sehingga melimpah sambil melaungkan ‘Ponggalo Ponggal’.

“Juadah nasi manis atau lebih dikenali sebagai Ponggal yang disediakan dalam periuk tanah merupakan hidangan wajib untuk dipersembah kepada Surya Bhagavan Dewa Matahari sebagai tanda berterima kasih,” katanya.

Pegawai Seranta Pusat Khidmat DUN Perai Mohan Ramasamy, berkata Hari Ponggal pada tahun ini lebih bermakna dan ungkapan ‘Thai Pirantal, Vali Pirakum’ yang bermaksud dengan lahirnya bulan Thai maka akan lahirlah permulaan baharu dan berharap memberi kemakmuran kepada seluruh rakyat Malaysia.

-ZS-

Tinggalkan komen anda