
Laporan/foto: Nor Haliza Ridzuan/Muhammad Azim Abu Bakar (Seberang Perai Tengah)
BUKIT MERTAJAM, 2 Feb (Malaysiaaktif) – Penduduk sekitar Bukit Mertajam boleh mengunjungi Pesta Buku Pulau Pinang 2024 di Mydin Mall di sini yang berlangsung selama empat hari bermula 1 hingga 4 Februari ini.
Terdapat lebih 30 buah reruai yang menjual pelbagai jenis bahan bacaan menarik dengan harga yang berpatutan.
Selain jualan bahan bacaan, pesta ini turut menjadi platform pertandingan e-sukan yang melibatkan penyertaan pelajar sekolah dan pertandingan akhir akan berlangsung pada hari penutup pesta ini.
Seorang pengunjung Nur Tazliyana, 30, berkata beliau memang merancang untuk hadir ke pesta buku ini bagi mendapatkan koleksi terkini bahan bacaan seperti novel dan buku motivasi.
“Bagi saya penganjuran pesta buku ini amat menarik dan sesuai untuk semua peringkat umur kerana pelbagai jenis buku boleh didapati di sini,” katanya.
Antara aktiviti yang dijalankan antaranya Bicara Usahawan oleh Pakteh Fruits, Pertandingan Bintang Cilik, Pertandingan Lego Keluarga dan pelbagai lagi pengisian menarik yang sesuai untuk seisi keluarga. Selain itu, pengunjung juga berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah yang akan dijalankan pada hari terakhir Pesta Buku Pulau Pinang berlangsung.
Pada hari pertama Pesta Buku Pulau Pinang 2024 berlangsung, sambutan menggalakkan diterima daripada sekolah-sekolah sekitar Pulau Pinang. Antara pelajar sekolah yang dilihat hadir ialah daripada Sekolah Kebangsaan Batu Maung, Sekolah Kebangsaan Al-Mashoor Lelaki Pulau Pinang dan Sekolah Kebangsaan Seri Bayu, Teluk Kumbar.
Pengunjung juga berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah yang akan diadakan pada hari terakhir pesta ini berlangsung.
Pesta Buku Pulau Pinang 2024 dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pulau Pinang merangkap Pengerusi Lembaga Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang Datuk Dr. Mohamad bin Abdul Hamid.
-ZS-