Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

PSMZA Dipilih Tuan Rumah Sambutan Semarak Hari Belia Negara Daerah Dungun

By 16 Mei 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aneta Ahmad/Raja Noor Ezani Raja Noor Ezam (Dungun)

DUNGUN, 16 Mei (Malaysiaaktif) – Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) dipilih menjadi tuan rumah Hari Belia Negara (HBN) peringkat Daerah Dungun yang diadakan, di sini semalam.

“Bertemakan ‘Yakin Boleh!’ sambutan ini merupakan pengiktirafan dan penghargaan kepada seluruh belia bagi membentuk pembangunan pelajar secara holistik,” ujar Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) Ts. Dr. Mohd Hafizil Mat Yasin dalam ucapan perasmiannya.

Wan Norhayati menyampaikan cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada Mohd Hafizil

Menurut beliau, salah satu usaha yang diketengahkan oleh Jabatan Sukan, Kokurikulum & Kebudayaan PSMZA (JSKK) adalah dengan menubuhkan Sekretariat Rakan Muda (SRM).

“Persatuan ini telah ditubuhkan sejak 7 Julai 2023 dan PSMZA juga telah di tauliah oleh Kementerian Belia & Sukan (KBS) sebagai salah satu badan operasi bagi Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) pada 25 Mac 2024.

“Dengan adanya SRM ini, diharap dapat membantu pihak JSKK menjalankan aktiviti melibatkan pelajar serta mengiktiraf sumbangan mereka melalui penyertaan ARPRM yang terdiri daripada komponen khidmat masyarakat, kemahiran, rekreasi fizikal dan penjelajahan lasak.

“Penglibatan para pelajar secara aktif membantu memberi merit dalam memantapkan struktur organisasi dan pengurusan SRM, meningkatkan potensi kepimpinan diri pelajar, memupuk semangat kesukarelawanan, serta membentuk pembangunan pelajar secara holistik merangkumi aspek pembangunan minda, rohani, sahsiah dan etika,” katanya.

Pelajar Kejuruteraan Awam, Faris Danial Mazlan, 21 berharap program yang dilaksanakan oleh kerajaan membantu menyerlahkan potensi golongan belia

Beliau turut merakamkan penghargaan atas kepercayaan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Dungun memilih PSMZA sebagai tuan rumah bagi sambutan Semarak HBN peringkat Daerah Dungun kali ke–60 ini.

Bacaan Ikrar Belia Malaysia dan ceramah kepada 250 peserta terdiri daripada Majlis Belia Daerah Dungun, badan gabungan, unit beruniform dan pelajar PSMZA adalah antara pengisian program.

Turut hadir Pegawai Belia dan Sukan Daerah Dungun Wan Norhayati Wan Ibrahim dan Ketua Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan PSMZA Abdul hadi Abdullah.

-AA-

Tinggalkan komen anda