
Laporan/foto: Mohd Rafezan/Faez Fuad (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Dua anggota polis maut dan seorang lagi cedera dalam kejadian serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi tadi.

Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar (kiri) dan Muhamad Syafiq Ahmad Said (kanan) yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, awal pagi tadi. Jenazah akan dibawa balik ke kampung halaman mereka di Bidor dan Gambang selepas semua proses bedah siasat selesai.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, berkata kejadian berlaku pada pukul 2.50 pagi apabila suspek yang berusia 21 tahun datang ke balai polis dengan menaiki motorsikal lalu menetak leher mangsa yang sedang membuat rondaan di belakang balai polis berkenaan.
“Suspek telah merampas senjata api dan menembak dua lagi anggota polis yang berada di balai polis menyebabkan salah seorang anggota polis maut akibat terkena peluru di kepala manakala seorang lagi cedera di pinggul kiri serta bahu kiri. Akhirnya, suspek berjaya ditembak mati,” katanya.
Sementara itu, polis telah membuat serbuan ke rumah suspek di Ulu Tiram dan telah menahan lima ahli keluarga berusia antara 19 hingga 62 tahun dan merupakan kumpulan ahli Jemaah Islamiyah (JI) termasuk suspek.

Razarudin ketika ditemui dalam sidang media di Balai Polis Ulu Tiram, pagi tadi.
“Setakat ini polis telah menahan tujuh suspek termasuk dua pelajar IPT berusia 21 dan 22 tahun yang hadir ke balai polis bagi merujuk kes cabul dua tahun lalu yang berkemungkinan mempunyai kaitan dalam serangan ini,” katanya ditemui ketika sidang media di Balai Polis Ulu Tiram, di sini hari ini.
Kesemua mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik untuk di bedah siasat dan anggota polis yang cedera telah dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan.
-ZS-