Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Burung Murai Batu Beri Kesan Positif kepada Peminat dan Komuniti

By 20 Mei 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)

TAWAU, 20 Mei (Malaysiaaktif) – Kicauan emas burung murai batu yang sesungguhnya merdu boleh membuat sesiapa sahaja yang mendengarnya berasa tenang seolah-olah sedang berada di dalam hutan rimba.

Malah, spesies hidupan liar yang dilindungi itu mempunyai penggemarnya tersendiri termasuk di Tawau, Sabah dan mendorong kepada penganjuran pelbagai aktiviti komuniti antaranya pertandingan seni suara kicauan unggas berkenaan.

Rina bersama peserta pertandingan burung murai batu.

Setiausaha Politik Kepada Menteri Kewangan Sabah, Rina Jainal berkata hobi seumpama ini perlu dipromosikan dan dikembangkan kerana mampu memberikan impak yang positif kepada para penggemarnya dari pelbagai peringkat umur.

“Aktiviti pemerhatian burung murai batu ini mempunyai kumpulan peminat tersendiri, khususnya dalam kalangan belia dan penduduk setempat, terutamanya para belia dan anak-anak yang ingin mencuba hobi baru.

“Program ini adalah sesuatu program yang menarik, walaupun ringkas tetapi mampu mengumpulkan begitu ramai peminat burung bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka.

“Di sini kita lihat program ini dapat mengumpulkan peserta dari luar daerah Tawau seperti dari Kunak, Lahad Datu dan Sandakan yang menunjukkan kesanggupan mereka untuk hadir ke program ini,” katanya ketika merasmikan Pertandingan Kicau Burung Murai Batu di sini pada Ahad.

Rina ketika ditemui para pemberita.

Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina berkesempatan untuk menyampaikan sumbangan kewangan sebanyak RM2,000 kepada Persatuan Pencinta Burung Murai Batu Tawau.

Sementara itu penganjur pertandingan terbabit, Norazmi Mazni berkata pertandingan seumpama ini sudah banyak kali dianjurkan di Tawau tetapi julung kali diadakan secara mini yang turut membabitkan peserta dari luar daerah.

“Untuk pertandingan ini setiap burung akan dinilai berdasarkan suara kicauan, kecantikan bulu gaya, petik ekor dan menonjolkan diri di mana untuk pertandingan kali ini disertai 80 peserta dan turut dimeriahkan para penggemar burung murai tempatan,” ujarnya.

Untuk makluman, pengeluaran lesen untuk menangkap murai batu tertakluk kepada Perintah Pemuliharaan Hidupan Liar (Musim Terbuka, Kaedah, Masa Memburu) 2014 sementara pengeluaran lesen menangkap juga adalah mengikut kuota yang dibenarkan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda