
Laporan/foto: Aneta Ahmad/Mahadi Mustafa (Dungun)
DUNGUN, 20 Mei (Malaysiaaktif) – Program Usahawan Automotif MARA PETRONAS (PUMP) merupakan program kerjasama antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. (PLMM) bagi membangunkan komuniti usahawan yang dinamik dan kompeten.
Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA Datuk Zulfikri Osman berkata, PUMP memberi fokus kepada aspek latihan pengurusan dan teknikal, pembiayaan serta pemantauan secara berkala terhadap usahawan yang terpilih di empat zon iaitu zon utara, tengah, selatan dan pantai timur.

Zulfikri ketika menyampaikan ucapan perasmian PUMP di IGARAGE Outlet, Dungun
“Memperkasakan jenama perniagaan melalui peningkatan imej dan susun atur bengkel dan memberi galakan kepada pelajar lepasan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) serta Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA & IPTS) antara objektif PUMP.
“MARA telah memperuntukkan RM15 juta yang memberi manfaat kepada 35 usahawan dengan memiliki 46 buah cawangan di bawah jenama PUMP,” katanya ketika ditemui merasmikan PUMP Dungun yang diadakan di IGARAGE Outlet, di sini semalam.
Usahawan PETRONAS AutoExpert juga Pengarah Urusan IGARAGE Mohd Suhaidi Mohd Yusof, 45, berkata, beliau sangat berterima kasih kepada MARA atas bantuan dan sokongan yang diberikan sehingga hari ini.
“Saya mula belajar dalam bidang automotif di salah sebuah pusat GiatMARA di negeri ini dan melanjutkan pengajian dalam bidang yang sama di Institut Kemahiran MARA di Perak.

Gimik perasmian PUMP Terengganu
“Hasil dari pembelajaran dan pengalaman sebagai mekanik di Edaran Otomobil Nasional Berhad, EON Service di Kuantan dan di bengkel kereta milik bapa saudara, saya nekad membuka bengkel kereta sehingga IGARAGE ini dibuka,” katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PLMM Mohd Zameer Zahur Hussain, Pengarah Bahagian Infrastruktur Komersial MARA Zahari Aziz dan Pengarah MARA Negeri Terengganu Abd. Wahab Mustafa.
-AA-