Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pengesanan Awal Kanser Serviks Perlu Dibudayakan – Pengarah HQE

By 15 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Siti Mariam Aziz Rashid (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 4 Jun – (MalaysiaAktif) – Kesedaran terhadap kepentingan pengesanan awal kanser serviks perlu dibudayakan dalam kalangan wanita kerana penyakit tersebut boleh dicegah dan dikesan lebih awal melalui pemeriksaan pangkal rahim juga dikenali sebagai Pap Smear Test.

Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE), Datuk Dr. Abd. Kahar Abd. Asis berkata masih ramai wanita yang takut, malu atau menangguhkan pemeriksaan sementara peringkat awal penyakit itu sering tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Kanser serviks sebenarnya boleh dicegah dan boleh dikesan lebih awal melalui pemeriksaan Pap Smear dan program kesedaran seperti ini penting dalam meningkatkan kesedaran wanita terhadap kepentingan saringan kesihatan dan pengesanan awal penyakit.

“Kesedaran perlu dimulakan bukan hanya apabila sakit, tetapi ketika kita masih sihat, sementara kita sebagai petugas kesihatan, perlu menunjukkan contoh bahawa budaya saringan kesihatan dan pengesanan awal adalah sesuatu yang normal, penting dan perlu diberi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Program Pemeriksaan Pap Smear Sempena Sambutan hari Jururawat 2026 di Hospital Queen Elizabeth di sini pada Sabtu lepas.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Pengarah Klinikal I HQE, Dr. Marcus Netto.

Program anjuran Unit Kejururawatan HQE bersama Persatuan Amal dan Ihsan Jururawat HQE, Klinik Kesihatan Kota Kinabalu serta Sabah Nurses Association (SANA) HQE itu berjaya menarik kehadiran seramai lebih 200 peserta berbanding sasaran awal 100 peserta melibatkan warga hospital dan orang awam.

Dr. Abd. Kahar turut menghargai kerjasama strategik antara hospital, klinik kesihatan, persatuan dan organisasi sokongan dalam menjayakan program tersebut yang disifatkan mampu memberi impak besar kepada kesedaran kesihatan awam jika dilaksanakan secara berterusan.

Turut hadir pada program berkenaan, Ketua Penyelia Jururawat HQE, Matron Maini Kamandan merangkap Pengerusi Penganjur Program, wakil Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Harrington, Matron Jacinta Intang, wakil Persatuan Amal dan Ihsan Jururawat HQE, Matron Siti Rahmah Latang, dan wakil SANA HQE, Sister Agnes Pius.

-RJ-

Tinggalkan komen anda