
Laporan/foto: Hasbella Hasim/Aniss Rahin (Perak Tengah)
SERI ISKANDAR, 27 Mei (Malaysiaaktif) – Kumpulan tarian, Puteri Gemalai Tari dari Sekolah Kebangsaan Seberang Perak yang ditubuhkan pada tahun 2020 bukan sekadar suka-suka tetapi membuahkan hasil apabila beberapa ahli kumpulan ini berjaya memasuki Sekolah Seni Malaysia Perak, Sungai Siput.
Ahli kumpulan yang terdiri daripada murid darjah tiga hingga enam ini telah dicungkil bakat oleh guru, Norhayati Ahmad Saidi, 43.

Norhayati (dua dari kanan) tidak memiliki latar belakang dalam bidang tarian namun gigih mempelajari koreografi tarian melalui YouTube
Menurutnya, dia menyedari bakat pelajar ini semasa mereka berlatih senaman aerobik sempena hari sukan sekolah.
“Selepas menyedari bakat yang dimiliki mereka, saya terus menubuhkan kumpulan tarian tradisional dengan harapan tarian ini dapat memupuk minat dan dikenali oleh anak-anak muda generasi kini yang lebih mengenali tarian K-Pop.
“Berkat sokongan padu daripada guru besar, Haji Khatta Jamaluddin dan guru-guru serta ibu bapa, maka kumpulan tarian ini telah beberapa kali mewakili negeri Perak dalam pertandingan peringkat kebangsaan,” katanya.
Kejayaan manis menggondol Anugerah Parameswara dalam Karnival Kesenian Murid Malaysia Tahun 2023 yang diadakan di Melaka membuatkan kumpulan ini terus mara tanpa menoleh ke belakang lagi.
Sementara itu, murid Nur Qasih Aqilah Kamal Bahrin, 12, yang juga ketua kumpulan tarian berkongsi pengalaman menyertai kumpulan ini sejak darjah empat.

Wajah ceria Kumpulan Puteri Gemalai Tari
“Saya berasa agak sedih kerana tahun ini merupakan tahun terakhir dalam kumpulan ini. Harapan saya agar dapat memasuki Sekolah Seni Malaysia pada tahun hadapan,” ujarnya ketika ditemui dalam satu program di UiTM Seri Iskandar, di sini kelmarin.
Kumpulan Puteri Gemalai Tari turut mendapat sokongan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan telah dipilih oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak (JKKN) di bawah Kumpulan Bimbingan Seni Cemerlang (KBSC) bagi tahun 2024 hingga 2025.
-AA-