
Laporan/foto: Siti Zuraida MD Nor Aidi/Pusat Khidmat ADUN Palong
JEMPOL, 1 Jun (Malaysiaaktif) – Jualan Nismilan Prihatin DUN Serting di Masjid Imam As Shafie, Gugusan Raja Alias, di sini semalam mendapat sambutan hangat daripada penduduk tempatan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Mustapha Nagoor, program ini bertujuan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat dengan penawaran penjimatan antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Mustapha menyampaikan minyak masak percuma kepada 500 pengunjung terawal.
“Selain daripada inisiatif program jualan ini, kerajaan Negeri Sembilan turut mengambil pendekatan memperkenalkan Skim Sejahtera Rakyat (SSR) yang merupakan suatu bentuk bantuan kepada pelbagai kelompok masyarakat yang memerlukan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM29.75 juta.
“Antara inisiatifnya termasuk bantuan kemasukan ke asrama penuh sebanyak RM300, bantuan perkahwinan RM500 bagi perkahwinan pertama, sumbangan keceriaan warga emas tahunan berumur 70 tahun keatas sebanyak RM200 dan bantuan food bank (bank makanan) untuk keluarga termiskin dan melalui sistem e-Kasih,” ujarnya.
Sementara itu, menurut salah seorang pengunjung Fauziah, 63, program seperti ini sangat ditunggu-tunggu kerana membantu rakyat dalam meringankan beban perbelanjaan membeli barangan dapur dan sebagainya.

Penyampaian sumbangan keceriaan warga emas kepada penerima.
“Selain faktor lokasi penganjuran program yang strategik di tengah-tengah kawasan Felda Raja Alias 1 hingga 4, ia memudahkan masyarakat setempat untuk datang membeli barang keperluan dengan selesa.
Seorang lagi pengunjung Maznah, 70, berkata harga yang ditawarkan sangat berbaloi
“Saya berasa sangat teruja apabila pihak Yang Berhormat (Mustapha Nagoor) telah menyediakan dan membuat edaran minyak masak secara percuma sebanyak 500 paket pada hari ini kepada pengunjung.
“Walaupun sepaket setiap orang tetapi ianya sangat bermakna kerana terlalu sukar untuk mendapatkan minyak masak paket di pasaran,” katanya.
-ZS-