
Laporan/foto: Muhamad Amsyar/Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)
TELUK INTAN, 12 Jun (Malaysiaaktif) – Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan aplikasi yang boleh menyekat semua jenis panggilan dan mesej yang tidak diingini bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Inspektor Zunainah Halim dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, berkata penggunaan aplikasi seperti ‘Whoscall’ dan ‘Truecaller’ dapat membantu masyarakat untuk mengetahui kesahihan pemanggil apabila menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali.

Antara yang hadir di Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti Madani Kampung Ayer Hitam.
“Untuk mengurangkan risiko daripada menjadi mangsa, orang ramai dinasihatkan untuk tidak melayan panggilan atau mesej yang mencurigakan.
“Jika menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali, jangan angkat. Lebih baik abaikan sahaja,” katanya.
Zunainah berkata demikian dalam sesi ceramah berkenaan jenayah penipuan dalam talian di Dewan Orang Ramai, Kampung Ayer Hitam sempena penganjuran Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti Madani Kampung Ayer Hitam, di sini pada Isnin.

Haji Mohamad Din Hussein ketika berucap.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia sedang giat memberi kesedaran kepada masyarakat bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan menerusi panggilan atau tawaran palsu oleh sindiket penipuan dalam talian.
Sementara itu, Pengerusi Komuniti Madani Kampung Ayer Hitam Haji Mohamad Din Hussein, berkata warga emas merupakan sasaran yang mudah bagi sindiket penipuan dalam talian.
“Justeru saya berharap pengisian program berkenaan jenayah dalam talian ini sedikit sebanyak memberi panduan dan peringatan kepada penduduk yang hadir,” katanya.
-ZS-