
Laporan/foto: Mohammad Abd Rahman/Lance Dunstan (Sarawak)
KUCHING, 17 Jun (Malaysiaaktif) – Perarakan Gawai Dayak 2024 atau ‘Niti Daun’ telah berjaya menarik 3,300 peserta melibatkan 111 kontinjen dalam perarakan sejauh 1.2 kilometer dari Bangunan Tun Jugah ke Jambatan Darul Hana, di sini kelmarin.
Salah seorang peserta kontinjen daripada Kelab Rabung Betong Moris Nayup, 46, berkata perarakan budaya seperti itu perlu diteruskan sehingga ke peringkat antarabangsa memandangkan ia mampu membantu industri pelancongan tempatan berkembang maju serta memberi peluang ekonomi kepada perusahaan kecil tempatan.

Moris, 46, memperagakan busana suku kaum Iban kawasan Betong.
“Sebagai contoh mereka yang terlibat dengan penghasilan busana tradisi kaum Iban yang boleh menjana empat hingga lima ribu ringgit,” katanya.
Sementara itu, Aminah Sirat, 59, yang juga salah seorang peserta perarakan, berkata hujan lebat tidak mematahkan semangat perserta perarakan tersebut.
Aminah yang berasal dari Belaga di Bahagian Kapit, berkata beliau menyertai kontinjen Persatuan Kayan Sarawak (PKS) dengan ahli seramai 30 peserta tetap meneruskan perarakkan demi memperagakan kostum dan budaya kaum Kayan (Orang Ulu) kepada khalayak umum.

Cristina, 29, temui pemberita setelah selesai acara ‘Niti Daun’ atau Perarakan Gawai Dayak di hadapan Waterfront Kuching pada Sabtu lalu.
“Saya memakai busana tradisi kaum Kayan, memakai dilang (selendang), taksa (tali pinggang besi), ajat (beg) dan telah menyertai perarakan setiap tahun agar dapat dilihat oleh anak cicit pada kemudian hari,” ujarnya.
Sementara, Cristina Mihairan Miron, 29, salah seorang pelancong dari Romania yang hadir, berkata beliau sangat teruja dengan penganjuran perarakan pada tahun ini dan ingin melawat lagi pada tahun hadapan.
“Orang ramai di sini sangat hebat kerana berjaya ‘mengalahkan’ hujan lebat dan semua orang kekal bersemangat.
“Saya sangat sukakan Kuching dan berharap acara dan tradisi ini diteruskan,” katanya.
-ZS-