
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/FAMalaysia Official
RUNGKUP, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Kejayaan Muhammad Adib Abdul Raop, 24, atau lebih dikenali sebagai Adib Raop menjaringkan gol ketiga Harimau Malaya ketika aksi kelayakan Piala Dunia menentang Chinese Taipei minggu lepas bukan sahaja menjadi kenangan yang bermakna buat dirinya malah menjadi kebanggaan rakyat daerah ini.
Bapanya, Abdul Raop Mohd Yusof, 57, berkata perlawanan menentang Chinese Teipei merupakan penampilan kedua Adib bersama pasukan Harimau Malaya dan cita-cita anak keempat daripada lima beradik itu sejak kanak-kanak adalah bermain untuk pasukan kebangsaan.

Adib Raob ketika berumur 18 tahun dan ‘call-up U19’ pada tahun 2018
“Adib sangat rajin berlatih dan tidak memilih untuk berlatih dengan sesiapa sahaja asalkan dapat bermain bola sepak.
“Sedikit perkongsian mengenai persekolahannya, Adib mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bagan Pasir seterusnya Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abdul Razak (SMKTAR), Selekoh sehingga tingkatan dua. Semasa di tingkatan tiga, Adib bersekolah di SMK Seri Perkasa selama setahun sebelum kembali ke SMKTAR sehingga tingkatan empat. Kemudian semasa di tingkatan lima, dia mendapat tawaran untuk bersekolah di SMK Raja Muda Musa, Teluk Intan dan di gilap bakatnya oleh tenaga pengajar di sekolah tersebut,” ujarnya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Tambah Abdul Raop, seseorang itu mestilah berusaha bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa untuk mencapai sesuatu minat di samping mengamalkan sikap merendah diri dan sedar siapa diri kita.
“Kejayaan Adib walaupun masih awal sudah cukup untuk membuktikan bahawa usaha dan latihan yang dilakukan selama ini berbaloi,” tambahnya.

Adib bersama keluarga ketika SUKMA 2018 di Perak
Sementara itu, Pegawai Kementerian Belia dan Sukan Bagan Datuk, Mohd Basharul Hafiz Saad turut berpendapat kejayaan Adib menjadi kebanggaan daerah ini.
“Bukan mudah untuk melihat anak muda dari daerah kecil seperti Bagan Datuk mewakili Malaysia sehingga ke peringkat kebangsaan.
“Semoga kejayaannya memberi inspirasi dan memotivasikan anak muda lain untuk melakar kejayaan serupa demi membanggakan keluarga dan daerah Bagan Datuk,” katanya.
-AA-