
Laporan/foto: Irina Abd Samad/Norfaizah Adnan
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Warga kota disarankan agar meningkatkan kesedaran dalam gaya hidup lestari untuk memastikan usaha kerajaan dalam melindungi alam sekitar terjamin untuk generasi akan datang.
Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata karnival ini bukan sekadar penganjuran tetapi sebagai simbol komitmen kerajaan yang memerlukan sokongan dan maklum balas masyarakat untuk menjaga khazanah alam sekitar kekal.

Nik Nazmi menandatangani plak Jubli Emas AKAS 1974 sebagai simbolik pelancaran.
“Selain daripada menjadi platform kementerian mendidik orang awam, penganjuran karnival ini juga memberi ruang kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NERS) untuk mendapatkan input dan maklum balas di peringkat akar umbi untuk NERS menambah baik perkhidmatan kementerian dan jabatan serta agensi di bawahnya,” katanya selepas merasmikan karnival berkenaan di Taman Tasik Titiwangsa, di sini semalam.
Tambahnya, dalam memberi penekanan ke atas kelestarian alam, pembangunan yang lestari dapat dicapai dalam masa yang sama dalam memastikan kemajuan ekonomi tidak mengorbankan alam sekitar dan kesejahteraan sosial.

Antara reruai di karnival tersebut.
Salah satu elemen penting di dalam usaha melestarikan alam sekitar adalah penguatkuasaan akta, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974, telah diwartakan pada 15 Mac 1974 dan dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah NERS.
Pada tahun 2024, akta ini menyambut ulang tahun yang ke-50 atau Jubli Emas di mana akta ini telah dipinda sebanyak tujuh kali sepanjang 50 tahun penguatkuasaannya bagi memberi ruang penambahbaikan demi kelestarian alam sekitar.
Karnival yang berlangsung selama dua hari ini telah menyediakan pelbagai aktiviti menarik dan reruai dari pelbagai jabatan dan agensi di bawah kementerian terbabit.
-ZS-