
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang/Maritim Selangor
KLANG, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Seorang nelayan hilang sementara seorang lagi selamat selepas bot yang dinaiki terbalik akibat dipukul ombak berikutan cuaca buruk di Pantai Acheh Pulau Indah, di sini semalam.
Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata dua nelayan tersebut keluar ke laut menggunakan bot gentian kaca pada pukul 8.00 pagi tanpa memakai jaket keselamatan.
Katanya, seorang mangsa, Arnizam Ibrahim, 43, terselamat apabila sempat berpaut pada bot dan diselamatkan oleh bot pilot pelabuhan (TEGUH 2) sementara sepupunya, Mohd Fazil Paijan, 36, dilaporkan masih hilang.
“Sebaik menerima laporan kehilangan mangsa, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan pada hari pertama jam 5 petang (Ahad) dan ditangguhkan pada 7.30 malam susulan cuaca buruk serta keadaan gelap yang menyukarkan pencarian.
“Maritim Selangor membuka Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) di Jeti Marina Pulau Indah bagi menyelaraskan usaha OP CARILAMAT di sektor pencarian,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini
Katanya, operasi diteruskan pada hari kedua bermula seawal jam 7 pagi dengan pertambahan lima aset dari pelbagai agensi seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sebuah pesawat PDRM AW 139 (PGU) meliputi radius sektor pencarian 102 batu nautika persegi.
Muhaimin turut menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa peka mengenai keselamatan di laut dengan menitik beratkan aspek keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
-ZS-