Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

MOSTI Perkasa STEM dalam Kalangan Pelajar

By 19 Jun 2024Jun 30th, 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hendry Nurdin/Mujibu Abd Muis (Sabah)

LAHAD DATU, 29 Jun (Malaysiaktif) – Pelajar di Sabah bakal berpeluang untuk meneroka dunia Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui Program Bengkel The World: Magnified, Plastic World and Electroplating Chemistry.

Bengkel anjuran Kementerian Sains dan Teknologi Malaysia (MOSTI) itu menyaksikan penyertaan aktif seramai 472 pelajar daripada tujuh sekolah rendah di daerah Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, dan Tawau dalam pelbagai aktiviti STEM seperti bengkel sains, uji kaji amali dan demonstrasi biologi.

Timbalan Menteri MOSTI Datuk Mohammad Yusof Apdal, berkata program yang bermula pada 24 hingga 28 Jun 2024 ini juga bertujuan untuk meningkatkan minat dan keterlibatan masyarakat umum, terutamanya pelajar sekolah dan belia dalam bidang STEM.

Jelasnya, pemerkasaan bidang STEM dalam kalangan generasi muda merupakan kunci utama dalam membangunkan bakat Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang adaptif, memacu negara menuju status negara teknologi tinggi menjelang 2030.

“Dengan menetapkan agenda Pemerkasaan STEM sebagai antara keutamaan kementerian tahun ini, MOSTI giat melaksanakan pelbagai aktiviti dan program pendidikan bukan formal telah dirancang untuk melengkapi kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Ini adalah tanda komitmen MOSTI dalam memperkukuhkan pendidikan STEM di Malaysia, dengan memberi tumpuan kepada pelajar dalam kawasan pendalaman dan luar bandar, bagi memastikan mereka tidak tercicir,” katanya ketika merasmikan bengkel The World: Magnified, Plastic World and Electroplating Chemistry, di sini pagi Khamis.

Untuk makluman bengkel ini merupakan antara inisiatif yang diambil Program STEM Camp MOSTI 2024 yang dianjurkan dengan kerjasama strategik bersama Universiti Nottingham Malaysia (UNM) dan Royal Microscopical Society (Great Britain).

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan St. Dominic, Leonard Ganis ketika ditemui berkata penganjuran bengkel tersebut akan meningkatkan pengetahuan dan minat pelajar dalam bidang STEM selain menjadikannya sebagai pilihan kerjaya dengan kebolehpasaran tinggi.

“Saya bersyukur sekolah ini terpilih untuk bengkel ini diadakan di sini, dan menerusi bengkel tersebut, pelajar turut diberi peluang untuk merasai pembelajaran informal yang lebih interaktif, praktikal dan demonstratif di luar bilik darjah yang dikendalikan oleh fasilitator dan pensyarah berpengalaman dari UNM,” ujarnya.

MOSTI akan mengadakan program Minggu Sains Negara (MSN) dan Malaysia Techlympics di Sabah pada bulan Ogos dan September nanti melalui program jelajah jangkau luar di bawah inisiatif Kembara Sains Borneo.

Jelajah tersebut akan merentasi sepuluh lokasi utama, bermula dari Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan, Ranau, Kota Belud, Tuaran, Penampang, Tambunan, Papar sehingga berakhir di Kota Kinabalu.

-ZS-

Tinggalkan komen anda