Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Bengkel Pengucapan Awam Tingkat Penguasaan Komunikasi Pelajar Kelab Malaysiaku

By 1 Julai 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Sukri Ibrahim (Kemaman)

KEMAMAN, 1 Julai (Malaysiaaktif) – Masalah kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar bukanlah suatu fenomena yang baru. Pelajar perlu mengasah bakat terutama dalam berkomunikasi agar tampil yakin memasuki dunia pendidikan dan kerjaya yang lebih mencabar.

Oleh itu, satu bengkel pengucapan awam dan pengacaraan majlis telah dianjurkan oleh Pejabat Penerangan Daerah Kemaman dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman dan Persatuan Amal Ikatan Setia Negeri bertempat di Dewan Rakan Muda Kampung Mak Lagam, disini kelmarin.

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu berharap program ini dapat melatih para pelajar untuk berani ke hadapan

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu Sait Yaman, berkata program yang melibatkan 11 buah sekolah dengan kehadiran seramai 180 orang pelajar ahli Kelab Malaysiaku di daerah ini bertujuan untuk menyemai kemahiran komunikasi secara efektif kepada pelajar agar dapat berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat dengan rasa yakin serta berupaya memenuhi keperluan kerjaya di masa depan.

“Penganjuran bengkel ini juga diharap dapat memberi pendedahan dan membentuk keyakinan pelajar untuk berkomunikasi dengan lancar dan yakin di khalayak ramai ketika menyampaikan ucapan atau mengendalikan sesuatu acara dari permulaan sehingga selesai.

“Para pelajar perlu lebih berani untuk tampil ke hadapan bagi mengaplikasi teknik dan kemahiran yang disampaikan. Ilmu dan tunjuk ajar yang diperoleh pada hari ini diharap dapat dipraktikkan bukan sahaja ketika di alam persekolahan malah sehingga ke alam pekerjaan kelak,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Nurnabiha Safifah Md Azhar berharap bengkel ini dapat diteruskan agar peserta tampil berani berkomunikasi di khalayak ramai

Pelajar Sekolah Kebangsaan Mak Lagam, Nurnabiha Safifah Md Azhar, 16, teruja dapat mengikuti bengkel ini dan berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Kemahiran komunikasi untuk bercakap dengan yakin di khalayak ramai yang saya pelajari pada hari ini sangat berguna untuk saya praktikkan nanti terutamanya ketika memasuki alam universiti kelak,” katanya.

Program selama sehari itu turut dihadiri oleh Pengerusi Persatuan Amal Ikatan Setia Negeri Terengganu Nazri Mohd Yusuf dan wakil Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman Roslina Abu Samah.

-AA-

Tinggalkan komen anda