
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 6 Jun (Malaysiaaktif) – Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta pada tahun 2024 melalui Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM bagi menyediakan modal pusingan kepada koperasi yang terlibat dalam aktiviti ekonomi yang berpotensi dan berdaya maju.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan yang berucap mewakili Menteri Pembangunan Koperasi dan Usahawan di Majlis Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) dan Hari Koperasi Negara (HKN) 2024, berkata pakej pembiayaan ini telah ditambah baik dengan had siling pembiayaan ditingkatkan sehingga RM30 juta termasuk menyediakan pakej khas kepada koperasi yang tersenarai dalam kalangan Indeks 100 Koperasi Terbaik di Malaysia dan koperasi yang mempunyai prestasi bayaran balik pembiayaan yang lalu yang memuaskan (‘good paymaster’).
Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan berangkat merasmikan Majlis BKK dan HKN 2024 di Pasar Terapung, Jabatan Pengairan dan Saliran, di sini semalam.
“Peruntukan sebanyak RM6.75 juta juga disediakan di bawah program Program Pembangunan Perniagaan Melalui Koperasi 2.0 (Bantuan Pembangunan) kepada koperasi yang aktif dan menjalankan aktiviti ekonomi yang berdaya maju, untuk menaik taraf infrastruktur perniagaan masing-masing.” ujar Ramanan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi melawat gerai pameran.
Menurutnya lagi, peruntukan sebanyak RM2 juta juga disediakan di bawah program Bantuan Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) bagi membantu rantaian bekalan perniagaan masing-masing.
“Kerajaan melalui koperasi turut prihatin dalam membantu rakyat khususnya golongan B40 dan sehubungan dengan itu kementerian akan meneruskan program Jualan Madani Koperasi Usahawan (JMKU) dalam menyediakan barangan keperluan asas dengan potongan sehingga 20 peratus berbanding harga pasaran,” katanya.
Tambah beliau lagi, pada tahun ini, Kementerian Usahawan dan Koperasi telah memperuntukan sebanyak RM2 juta di bawah Program Jom Jelajah Koperasi (JEJAK) di mana bantuan akan diberikan kepada koperasi yang terlibat dalam sektor pelancongan seperti hotel, inap desa, hasil kraftangan dan sebagainya.
Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, Speaker Dewan Undangan Negeri Rus’sele Eizan, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis Yang Zaimey Yang Ghazali, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Suriani Datuk Ahmad dan Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan bin Jalal (B).
-ZS-