
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 10 Jul (Malaysiaaktif) – Bermula pada tahun 2001, sebuah ladang nukleus mempelam berkeluasan 42 hektar telah mula dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dengan penanaman sebanyak 18 ribu pokok mempelam jenis Chok Anan (MA 224) di Mukim Tobiar di sini.

Produk Tobiar Gold yang terdapat di sini
Selain menghasilkan dan menjual buah mempelam yang dipetik segar dari ladang, projek pemprosesan mempelam atau dikenali dengan nama Tobiar Gold ini juga turut menyediakan pelbagai produk berasaskan mempelam seperti kordial, jus dan pulut mempelam yang disajikan segar kepada pelanggan.
Menurut Pegawai Pertanian MADA, Siti Noraini Ahmad yang ditemui menyatakan bahawa Tobiar Gold ini mula diwujudkan pada tahun 2008 dengan memproses puri di Ladang Mempelam Tobiar dan mewujudkan pusat pemprosesan minuman yang bertempat di Napoh, Kubang Pasu bagi mengatasi masalah lambakan buah mempelam yang tidak boleh dijual disebabkan oleh rupa bentuk buah yang tidak menepati kehendak pasaran.
Projek penanaman buah mempelam ini telah menjadi pemangkin ekonomi penduduk setempat dan mempelbagaikan pendapatan peladang di kawasan MADA selain dari tanaman padi.

Buah mempelam yang dipetik segar setiap hari
“Mempelam Chok Anan ini mempunyai peminatnya yang tersendiri, malahan ramai yang datang dari luar negeri Kedah bagi mendapatkan buah mempelam segar dari ladang,” ujarnya.
“Selain datang sendiri ke ladang mempelam di sini, orang ramai yang ingin mendapatkan produk Tobiar Gold boleh juga berkunjung ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kepala Batas, Alor Setar dan Peladang Mart berdekatan,” katanya.
-AA-