
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 13 Jul (Malaysiaaktif) – Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) merupakan inisiatif kerajaan demi meningkatkan taraf kesihatan dengan matlamat utama untuk menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat seperti makan secara sihat dan selamat, tidak merokok, kesihatan minda dan mental yang optimum dan kelestarian persekitaran yang menyokong penentu sosial kesihatan atau ‘social determinants of health’ lain yang baik.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan Majlis perasmian Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Karnival Kesihatan Sihat Milik Semua Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat dan Karnival Kesihatan Sihat Milik Semua Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di Pusat Tranfomasi Bandar ( UTC ), di sini pagi tadi.
Dalam merealisasikan objektif ANMS, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis telah menggarapkan semua terasnya selari dengan konteks tempatan, sehingga lahirnya ‘Perlis Hebat Sihat Milik Semua’ yang berdiri di atas sembilan tonggak utama demi merakyatkan perkhidmatan kesihatan.
“Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada tahun 2023 mendedahkan status kesihatan rakyat Malaysia membimbangkan khususnya bagi penyakit tidak berjangkit (NCD) di mana 29.2 peratus atau 1 daripada 3 dewasa di Malaysia menghidap penyakit darah tinggi, 33.3 peratus atau 1 daripada 3 dewasa di Malaysia menghidap penyakit kolesterol tinggi, 15.6 peratus atau 1 daripada 6 dewasa menghidap kencing manis dan 54.4 peratus rakyat Malaysia (atau 1 dalam 2) mengalami berlebihan berat badan dan obesiti yang menunjukkan trend peningkatan berbanding tinjauan tahun 2011, 2015 dan 2019.
“Masalah kesihatan bukan sahaja membebankan individu, malah juga masyarakat dan negara kerana kos rawatan penyakit kronik amatlah tinggi,” ujarnya.

Bergambar kenangan bersama para pengunjung yang menyertai Program Agenda Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat.
Katanya lagi, produktiviti pekerja yang sakit dalam ekonomi secara umumnya juga akan merosot.
“Justeru, sebuah anjakan yang besar amat diperlukan untuk menangani situasi semasa,” ujarnya.
Pada majlis tersebut Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan berangkat hadir bagi merasmikan masjlis dan pembukaan tiga klinik kesihatan baharu di negeri ini.
Program selama dua hari ini adalah antara manifestasi iltizam ini yang menyaksikan pelbagai aktiviti jangkau luar atau ‘outreach’ secara bersepadu dan sehingga Jun lalu sejumlah 11,345 orang dewasa telah mendapat manfaat dan menikmati pelbagai perkhidmatan menerusi inisiatif ANMS ini.
-ZS-