
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Program Jiwa Madani@Kelab Malaysiaku mampu melahirkan pelajar yang mempunyai semangat patriotik dan cintakan negara.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Abidin Marjan program itu turut bertujuan membentuk generasi yang bersatu padu dan harmoni, melahirkan pelajar yang berketerampilan dan proaktif melalui teknik komunikasi massa dan bersemuka serta membentuk bakat kepimpinan dalam kalangan pelajar.

Bacaan Ikrar Rukun Negara.
“Program seumpama ini sudah tentu akan memberi manfaat kepada pelajar dalam meningkatkan kefahaman tentang hasrat kerajaan dalam membentuk pelajar yang kaya dengan ilmu selain memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah dan akhlak pelajar di Malaysia,” katanya semasa merasmikan program tersebut anjuran Jabatan Penerangan Labuan di Sekolah Menengah Sains Labuan pagi tadi.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Labuan Yahya Ahmad Putih.

Para peserta dan ahli Kelab Malaysiaku bergambar kenangan bersama tetamu jemputan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Labuan Azman Sipan memaklumkan Kelab Malaysiaku adalah berteraskan kepada kegiatan kokurikulum di sekolah menengah sebagai saluran komunikasi untuk memasarkan maklumat kenegaraan dan dasar kerajaan.
“Selain itu, fokus kelab ini juga ialah menterjemah dan merealisasikan hasrat kepimpinan negara untuk membentuk generasi cintakan negara dengan menerapkan nilai-nilai murni melalui pendekatan komunikasi yang strategik,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan.
Program yang turut disertai Kelab Malaysiaku daripada sepuluh sekolah menengah di Labuan itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti taklimat Sistem Beraja Malaysia, Ceramah Jiwa Merdeka, Kuiz Kenegaraan, Deklamasi Puisi dan Nyanyian patriotik.
Hadir sama Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Sains Labuan, Saidi Ismail.
-ZS