
Laporan/foto: Aini Aziz/Shuhaimi Ahmad
KUALA NERUS, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim yang telah berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat termasuk penuntut di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu dan warga komuniti setempat di negeri ini.

Para penuntut tekun menyaksikan Istiadat Pertabalan Agong yang diadakan setiap lima tahun sekali di negara ini.
“Saya berpendapat bahawa golongan pelajar dan penuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu diberi pendedahan secara berterusan berkenaan Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang diadakan setiap lima tahun sekali bagi terus memartabat dan memperkasa institusi beraja di negara ini,” kata Nor Emylia Lot Pegawai Penerangan Daerah Kuala Nerus ketika ditemui di Dewan Senat UniSZA, di sini hari ini ketika menganjurkan Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) MADANI bersama penuntut Fakulti Rekabentuk Inovatif dan Teknologi UniSZA dan Kelab Altruistik UniSZA.
“Generasi muda pada masa kini perlu lebih peka dan sentiasa menambah pengetahuan tentang peranan institusi beraja agar mereka lebih menghargai peranan institusi ini,” katanya.

Antara penuntut UniSZA yang hadir menyaksikan Istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Dewan Senat hari ini.
Turut hadir Pensyarah Fakulti Rekabentuk Inovatif dan Teknologi UniSZA Ts. Dr. Mohamad Sabri Hamid .
Tontonan secara langsung melibatkan kira-kira lebih 300 individu turut diadakan di tujuh lagi lokasi lain di seluruh negeri ini.
Antaranya di Dewan Batu Bersurat Muzium Losong Terengganu, Kedai Makan Depan Pejabat Penerangan Besut dan di pejabat-pejabat penerangan daerah.
-ZS-