Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17: Lebih 300 Tonton di Layar Besar

By 20 Julai 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid/Noriah Athan

KUNDANG, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Lebih 300 penduduk Kampung Permata, di sini menonton siaran langsung Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim menerusi layar besar hari ini.

Program tersebut merupakan salah satu pengisian program Jiwa Komuniti MADANI@Parlimen Selayang selain pelbagai acara sukan rakyat.

Pengerusi Komuniti MADANI Selayang Bukit Idaman, Tong Liang Wang, 32, berkata beliau sangat teruja untuk menonton siaran langsung hari bersejarah tersebut yang merupakan kali pertama disaksikan.

“Acara pertabalan ini penuh adat istiadat yang hanya dapat ditonton lima tahun sekali sahaja.

“Walaupun tidak berpeluang untuk berada di Istana Negara namun berpuas hati dapat saksikan secara langsung di layar besar Bersama kawan-kawan,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Komuniti MADANI Kuang, Khairul Hisham Kassim, 46, berkata program berkenaan diadakan untuk merai dan melahirkan rasa keterujaan rakyat diatas pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang baharu.

Antara yang hadir menonton Pertabalan Yang di-Pertuan Agong menerusi layar besar di Kundang hari ini.

“Semoga baginda dapat memacu kemajuan negara dan rakyat dapat menjalani kehidupan lebih baik di samping memastikan keamanan terus berkekalan.

“Daulat Tuanku, didoakan Tuanku berdua sihat walafiat untuk memayungi negara ini,” katanya penuh semangat.

Pelbagai acara pertandingan sukan rakyat turut diadakan seperti congkak, Batu Seremban, boling kelapa, musang berjanggut , terompah gergasi, timbang bulu ayam dan dam ular gergasi sempena Program Jiwa Komuniti MADANI@Parlimen Selayang yang diadakan di Dewan Komuniti Kampung Permata, di sini hari ini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda