
Laporan/foto: Syarqawi Rambli (Sabah)
KUDAT, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Masyarakat setempat perlu diutamakan dan mempunyai akses untuk menikmati sistem penyampaian perkhidmatan berkesan yang mampu meningkatkan indeks kualiti hidup di bawah pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Dr. Joachim ketika merasmikan penutupan Program Pembangunan Komuniti Daerah Kudat.
Justeru Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) sentiasa komited untuk merancang pelbagai program bagi memastikan setiap objektif dapat dirangka dengan lebih strategik demi menggapai matlamat utama pembangunan inklusif.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, berkata komitmen KKTP menggerakkan program bertunjangkan rakyat dapat melestarikan pembangunan komuniti setempat sekaligus memperjuangkan ekonomi tempatan.

Dr. Joachim menandatangani bendera Hari Penderma Darah Sedunia Daerah Kudat 2024.
“Tujuan program ini adalah untuk mengimarahkan dan seterusnya membangun taraf hidup masyarakat setempat yang berada di Kudat agar lebih peka dalam bidang ekonomi, kesihatan, pendidikan dan semua aspek kemandirian hidup yang lain.
“Bukan sahaja dari segi pembangunan tetapi meningkatkan taraf hidup serta memastikan keadaan persekitaran adalah selesa, mampu memberi kegembiraan dan seterusnya memastikan peningkatan kepada indeks kualiti hidup,” katanya ketika merasmikan penutupan Program Pembangunan Komuniti Daerah Kudat yang dihadiri sekitar 350 ahli masyarakat di sini pada Jumaat.
Merangkap Menteri KKTP, Joachim juga berkesempatan untuk menandatangani bendera sempena Hari Penderma Darah Sedunia yang akan diadakan pada 24 Julai ini di Dataran Tomborungus sebagai tanda sokongan ke atas kempen derma darah yang dijalankan bagi membantu keperluan bekalan darah di seluruh negara.
Bertemakan ‘Komuniti Prihatin’, program anjuran KKTP dan Lembaga Bandaran Kudat ini turut menganjurkan ceramah kesihatan, kempen derma darah, jualan Agro Madani, kempen kesedaran mengenai e-waste dan juga program vaksinasi HPV secara percuma.
-ZS-