
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/Pejabat Penerangan Bagan Datuk
HUTAN MELINTANG, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Laungan ‘Daulat Tuanku’ bergema di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang sempena Program Jiwa Komuniti Madani@Merdeka Peringkat DUN Hutan Melintang, di sini kelmarin.
Menurut ADUN Hutan Melintang Wasanthee Sinnasamy, program ini menyatukan rakyat berbilang kaum dan agama untuk sama-sama menyaksikan siaran langsung Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim dari Istana Negara.

Wasanthee bersama peserta program.
“Marilah kita sama-sama berdiri dan melaungkan kalimat ‘Daulat Tuanku’ sebagai tanda kesyukuran dan kesetiaan kepada Raja dan Negara,” serunya sejurus berucap merasmikan program.
Sementara itu, Pembantu Penerangan Pejabat Penerangan Bagan Datuk Arul Perumal, berkata selain tayangan istiadat pertabalan, program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti.
“Antaranya, persembahan deklamasi sajak, kuiz kenegaraan dan penyampaian sumbangan cermin mata kepada keluarga dari golongan B40,” katanya.

Penyampaian hadiah kuiz kenegaraan.
Keterujaan menyaksikan pertabalan tersebut turut dikongsikan oleh salah seorang peserta, Nurul Farhana Badrul Ezan, 38.
“Ini merupakan pengalaman pertama saya menyaksikan majlis istiadat pertabalan bersama dengan orang ramai dan suasana berbeza dapat dirasai berbanding menonton secara bersendirian.”
“Tahniah diucapkan kepada Jabatan Penerangan atas usaha ini,” katanya yang hadir bersama keluarga.
-ZS-