
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Stadium Merdeka dipilih sebagai venue perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor (TSSC) edisi ke-20 kerana stadium berkenaan pernah melahirkan ramai pemain terbaik negara.
Pengerusi TSSC Tan Sri Abdul Karim Munisar, berkata kejohanan pada 17 Ogos nanti merupakan cetusan idea Sultan Selangor merupakan platform kepada pemain legenda Selangor beraksi walaupun tidak selincah dahulu namun masih memiliki kemahiran tersendiri.

Abdul Karim menyerahkan replika tiket TSSC kepada YDP Majlis Perbandaran Selayang, Shahman Jalaludin.
“Tuanku ingin mengembalikan nostalgia perlawanan akhir Piala Malaysia antara pasukan Selangor dengan Singapura sebanyak 23 kali.
“Di Stadium Merdeka ini lahirnya legenda seperti Mokhtar Dahari, Santokh Singh, Soh Chin Aun dan Arumugam serta ramai lagi sehingga Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian ketika Siri Jelajah Promosi dan Penyerahan Tiket Piala Sultan Selangor 2024 di Bangunan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), di sini hari ini.

Pemain veteran Selangor sedang melayan peminat ketika siri Jelajah Promosi dan Penyerahan Tiket TSSC di Bangunan MPS hari ini.
Pilihan Selangor pernah meraih gelaran sebanyak sembilan kali iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019.
Sementara Pilihan Singapura pula pernah bergelar juara tujuh kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.
Kedua-dua pasukan turut berkongsi kejuaraan pada 2015 memandangkan perlawanan terpaksa dibatalkan susulan jerebu.
Kali terakhir TSSC diadakan pada 2019 menyaksikan Pilihan Selangor menewaskan Pilihan Singapura 1-0.
-ZS-