Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Beting Beras Basah, Lokasi Pelancongan Bersejarah yang Dipandang Sepi

By 23 Julai 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli/Mior Asrul Hadi (Bagan Datuk)

RUNGKUP, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Beting Beras Basah yang terletak di Bagan Datuk menjadi saksi lahirnya Kesultanan Perak namun kewujudannya sebagai lokasi pelancongan yang mempunyai nilai sejarah kini sepi daripada kunjungan pelancong dan agak ketinggalan dari segi pembangunan.

Maklumat Sejarah Kesultanan Perak dipamerkan tetapi ketiadaan fasiliti seperti tempat duduk kurang digemari pelancong.

Perkara ini diakui oleh Orang Besar Jajahan (OBJ) Bagan Datuk, Datuk Dr. Khalid Ismail, yang berkata orang ramai hanya melihat destinasi ini sebagai lokasi istiadat pertabalan Sultan Perak, sedangkan nilai khazanah yang terdapat di dalamnya lebih besar daripada itu.

“Kawasan Beting Beras Basah memiliki hutan paya bakau yang menjadi habitat kepada pelbagai spesies hidupan liar seperti burung migrasi, burung helang, tenggiling, musang, tuntung dan sesumpah ekoran kekayaan sumber makanan di lokasi ini.

“Keindahan pemandangan semula jadi juga menggamit pengunjung untuk merakam gambar kenangan terutama di sky mirror yang berlaku selepas air laut surut selain menikmati pemandangan matahari terbenam dan melihat kelip-kelip pada waktu malam,” ujarnya ketika ditemui di Pejabat OBJ Bagan Datuk, semalam.

Norama Taha (tengah) dan keluarga pertama kali datang ke Beting Beras Basah.

Sementara itu, pengunjung dari Johor, Norama Taha, 54, mengakui Beting Beras Basah mempunyai nilai sejarah dan pemandangan yang menarik.

“Namun, lokasinya agak terpencil dan ketiadaan fasiliti seperti tempat duduk dan tandas yang berkunci menyebabkan tempat ini kurang digemari,” kongsinya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda