
Laporan/foto: Mohammad Hafizee Md Hashim/Norfaizah Adnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 24 Jul (MalaysiaAktif) – U Mobile telah memperkenalkan Program Sekolah Digital, sebuah inisiatif yang berfokus untuk membawa manfaat pendigitalan kepada institusi pendidikan.
Menerusi Program Sekolah Digital U Mobile, ia akan mempercepatkan penerimagunaan digital dan menambah baik sektor pendidikan dengan memperkenalkan perkhidmatan penyelesaian digital seperti pembayaran tanpa tunai, pencatatan kedatangan dan pemantauan keselamatan secara digital, platform AI (pembelajaran), kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang termaju dalam institusi pendidikan.

Fahmi Fadzil mencuba kad sekolah digital.
Pelancaran Projek Rintis: Ekosistem Tanpa Tunai untuk Sekolah-sekolah Kerajaan telah dirasmikan di sini semalam oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Dalam ucapannya Fahmi menyarankan kepada semua warga pendidik dan para ibu bapa untuk sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan Generasi Z dan Generasi Alpha bersiap sedia untuk menghadapi cabaran dalam dunia digital.
“Perlu ada perubahan dalam kalangan pendidik dan pelajar sendiri, haruslah sentiasa bersedia mencabar diri, mencuba teknologi baharu tetapi pada masa sama, memahami batas-batas yang ada dari segi undang-undang, tatasusila, dan waspada dalam menggunakan teknologi,” katanya.
Pada peringkat pertama inisiatif ini, sebanyak empat buah sekolah kerajaan telah melancarkan Projek Rintis: Ekosistem Tanpa Tunai Untuk Sekolah-sekolah Kerajaan (Cashless Ecosystems for Public Schools), di mana tumpuannya adalah untuk meningkatkan tahap celik kewangan dan pengurusan wang pintar menerusi platform pembayaran digital.

Perasmian Sekolah Digital bersama U Mobile.
Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck pula, berkata syarikatnya boleh memainkan peranan penting dalam mempromosikan pendigitalan untuk generasi yang akan datang.
“Selaras dengan matlamat kerajaan untuk membentuk masyarakat yang memiliki keupayaan digital dan dipacu oleh teknologi, kami berbesar hati melancarkan Projek Rintis: Ekosistem Tanpa Tunai untuk Sekolah-sekolah Kerajaan melalui teras Digital School kami,” katanya.
Penyelesaian teknologi kewangan (Fintech) ini akan membolehkan para pelajar sekolah kerajaan melaksanakan transaksi tanpa tunai di sekolah seperti membayar makanan di kantin atau membeli barangan di kedai koperasi dan kedai buku sekolah.
Ibu bapa pula akan dapat mengawasi perbelanjaan anak-anak dan memberi peluang kepada mereka untuk memupuk amalan pengurusan wang yang cekap pada usia yang muda. Ekosistem digital ini juga membawa manfaat kepada pihak pentadbiran sekolah, para guru dan rakan sekolah apabila mereka boleh membuat dan menerima pembayaran tanpa tunai menerusi proses yang lebih lancar dan cekap serta operasi yang tersusun.
Ekosistem pembayaran tanpa tunai yang dilaksanakan di sekolah-sekolah ini turut dipacu oleh Vircle selaku rakan teknologi U Mobile.