
Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah
KANGAR, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Kempen bergerak Anti Keganasan dan Bijak Membantu Elak Tertipu Negeri Perlis 2024 yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat dalam usaha mengekang berlakunya penipuan atau sindiket kutipan derma.
Tinjauan Malaysia Aktif mendapati pegawai-pegawai JKM sedang mengedarkan risalah dan memberi penerangan kepada masyarakat di Pasar Hari Behor Lateh serta beberapa lokasi tumpuan orang ramai sekitar Kangar dan Arau.
“Pelaksanaan ‘Kempen Anti Keganasan dan Bijak Membantu Elak Tertipu Negeri Perlis 2024’ bertujuan bagi menyebar luas maklumat berkaitan Akta Keganasan Rumah Tangga dan Akta Orang Papa.
“Selain itu, jerayawara JKM Perlis ini juga bertujuan memberi kesedaran dalam kalangan masyarakat dan membina hubungan dengan komuniti setempat,” ujar Pengarah JKM Negeri Perlis Ku Chik Ku Mat Esa, di sin semalam.
Menurutnya, pihak JKM Perlis pada hari ini (Ahad) telah turun padang di beberapa lokasi seperti di pasar dan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Arau bagi menjayakan kempen bergerak ini.
“JKM Negeri Perlis juga menyeru agar masyarakat di luar sana mempunyai sikap peduli kepada situasi sekeliling dalam membantu pihak JKM.
“Sekiranya ada pihak yang mengetahui berlakunya keganasan rumahtangga, boleh terus menghubungi Talian Kasih di talian 15999 (panggilan percuma dan 24 jam),” katanya.
-ZS-