
Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah
KANGAR, 30 Jul (Malaysiaaktif) – Kelihatan dua pemuda yang secara berkumpulan menaiki motosikal duduk terpaku sambil memegang sebatang peralatan atau umpama sebatang galah yang hujungnya dipenuhi dengan rimbunan dedaunan atau dipanggil jebak.
Gelagat kedua lelaki ini menarik minat wartawan Malaysia Aktif untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan aktiviti yang sedang dilakukan.

Jebak yang digunakan untuk memikat burung.
Bagi yang pertama kali terserempak dengan mereka ini, ia kelihatan pelik kerana sambil memegang alat jebak untuk mendapatkan burung yang dicari, adakalanya terdengar siulan daripada pemikat burung ini.
Kedua-dua individu tersebut adalah antara ribuan pemikat burung yang aktif memburu spesis burung merbuk yang dikatakan bersuara emas sebagai hobi.
Biasanya pemikat burung ini akan bergerak secara berkumpulan mencari pokok atau tempat yang dikenal pasti mudah untuk diletakkan jebak atau jerat bagi memanggil burung yang dicari.
Wartawan Malaysia Aktif mendekati beberapa pemikat burung ini yang hanya ingin dikenali sebagai Firdaus, 43, berkata sebagai pemikat burung, dia dan rakan hari ini, sanggup datang daripada Sungai Petani untuk mencari burung dari spesis merbuk.

Burung merbuk mempunyai keunikan suara.
“Saya bersiul dengan kuat bagi menarik perhatian burung merbuk yang masih boleh di dapati sekitar bandar ini,” katanya ketika ditemui tengah hari semalam.
Katanya lagi, biasanya dia akan keluar memikat burung ketika ada kesempatan bersama rakannya yang mempunyai hobi yang sama, namun kadang kala hasil mendapatkan spesis tersebut tidak mudah dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
“Ada ketika, dalam tempoh yang tidak lama mudah untuk dapat burung merbuk, tetapi ada juga hari-harinya yang saya pulang tanpa membawa apa-apa hasil,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Usri Taharim, 53, dari Kangar mengakui, hobi membela burung adalah merupakan terapi bagi dirinya yang setelah pulang dari bekerja.
“Membela merbuk ini menjadi satu keseronokan kerana dia akan mengeluarkan suara yang unik dan berbeza antara satu sama lain,” katanya lagi ketika ditemui di kediamannya.
Apabila ditanya berkenaan hobi memikat burung merbuk beliau, berkata menjaga burung merbuk juga agak mudah kerana ia jarang diserang penyakit.
-ZS-