
Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah/Azmi Abd. Rahman (Machang)
MACHANG, 2 Ogos (Malaysiaaktif) – Mesej yang dibawa oleh konvoi KMJG 2024 adalah bersifat kenegaraan iaitu bukan sahaja mampu memupuk perpaduan, tetapi menjadi medium bagi menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Penyerahan Jalur Gemilang kepada agensi kerajaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Machang Superintenden Ahmad Shafiki Hussin, program KMJG sememangnya mampu menyemai, memupuk serta menggalakkan semangat patriotisme dan cinta akan tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai kaum termasuk para pelajar.
“Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, toleransi dan perpaduan menjadi tonggak dalam memelihara serta mempertahankan kemerdekaan negara dan perlu dipupuk untuk mencapai kestabilan politik dan memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih progresif,” katanya semasa merasmikan program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 Peringkat Negeri Kelantan di titik semakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Intan, di sini semalam.

Antara pelajar yang hadir.
Beliau juga menyeru supaya seluruh rakyat memelihara dan memupuk semangat Malaysia MADANI dalam jiwa setiap insan dengan cara mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, tempat kerja, taman perumahan, bangunan dan kawasan komuniti.
“Selain itu, persefahaman, perpaduan, toleransi dan hubungan erat dalam kalangan rakyat di semua peringkat dapat menentukan kejayaan agenda pembangunan negara, memperkukuhkan perpaduan serta menyemai semangat kenegaraan,” jelasnya.
Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan Muhd Nor Aswadi Md. Nor, Pengetua SMK Seri Intan Che Sauti Che Ibrahim, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua Komuniti MADANI di Daerah Machang.
-ZS-