
Laporan/foto: Nur Amirah Abd Rani/Noor Haswan Noor Azman (Kota Bharu)
KOTA BHARU, 3 Ogos 2024 (Malaysiaaktif) – Penyerahan Jalur Gemilang Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 Peringkat Negeri Kelantan kepada konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Negeri Kedah yang berlangsung secara ringkas di Banjaran Titiwangsa, menandakan berakhirnya pusingan konvoi 2024 bagi kontinjen Negeri Kelantan.

Penyerahan Jalur Gemilang kepada Konvoi KMJG Negeri Kedah di Banjaran Titiwangsa
Acara Simbolik Penyerahan Jalur Gemilang KMJG 2024 telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM) Hasim Mohamed mewakili Pengarah Penerangan Negeri kepada Nasarudin Haji Mahmud, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kedah.
Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 yang dilancarkan pada 21 Julai lalu diadakan bertujuan menyemarakkan sambutan dan menzahirkan semangat patriotisme menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024.
Konvoi KMJG Negeri Kelantan 2024 merupakan negeri ketujuh yang telah berlangsung selama dua hari bermula 31 Julai sehingga 2 Ogos melibatkan lima jajahan membabitkan laluan sepanjang 125 kilometer iaitu Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu, Machang dan berakhir di Kuala Krai.

Flag off konvoi KMJG di SMK Pengkalan Chepa
Antara pengisian program adalah nyanyian lagu patriotik, persembahan dikir barat, deklamasi sajak dan tarian kebudayaan dari pelajar di setiap hentian.
Sebanyak 67 kenderaan pelbagai jenis terlibat secara langsung dalam konvoi KMJG di Kelantan termasuk jabatan kerajaan, agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk 13 buah motosikal berkuasa tinggi daripada Suzuki V Strom Owners Club Malaysia (SVOCM).
Konvoi KMJG 2024 akan menjelajah keseluruh 10 negeri Semenanjung bermula dari Cyberjaya dan akan berakhir di Putrajaya pada 31 Ogos hadapan.
-AA-