
Laporan/foto: Zamrud Laili Mohd Mustap/Shamsul Bahari Abdul Shukor
SEBERANG JAYA, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Penglibatan 25 konvoi kenderaan dengan 110 orang peserta daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan di seluruh negeri ini memeriahkan lagi Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di SP Arena, dekat sini semalam.

Anggota Angkatan Tentera Malaysia antara agensi yang turut menyertai konvoi kenderaan.
Pelepasan konvoi kenderaan tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow secara pelepasan Jalur Gemilang di Lobi SP Arena dan seterusnya bergerak menuju ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dengan melibatkan laluan sejauh 25 kilometer (km).
Peserta konvoi, Nur Amni Nadhrah Abdul Wahab, 31, berkata selain dapat menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, acara sebegini juga memupuk semangat patriotisme dalam jiwa setiap lapisan masyarakat.
“Penglibatan konvoi kenderaan ini adalah sebagai tanda menyemarakkan Bulan Kebangsaan sekali gus menghidupkan suasana dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Sebahagian wakil jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan hadir memeriahkan majlis pelancaran.
“Saya mewakili Penang Development Corporation (PDC) Setia Urus mengucapkan terima kasih kepada pengajur kerana memberi ruang dan peluang untuk agensi kami bersama-sama menggelorakan sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya.
Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 peringkat Negeri Pulau Pinang itu dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Pulau Pinang.
Majlis tersebut turut diserikan lagi dengan penyerahan jalur gemilang kepada 64 wakil jabatan dan agensi di seluruh negeri ini.
-ZS-