
Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Sikap menunjukkan kecintaan kepada negara tidak seharusnya hanya ketika Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia sahaja.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata oleh itu rasa kecintaan kepada negara seharusnya ditunjukkan pada setiap masa.

Mahidi Pihak (dua dari kanan) turut hadir bersama ketua-ketua masyarakat yang lain.
“Jangan tunggu Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia untuk menunjukkan kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing.
“Oleh itu, adalah menjadi harapan saya agar program ini dapat menyemarakkan semangat cintakan negara dan bawa balik semangat ini ke kampung, taman perumahan dan rumah dan mula kibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Bulan Kebangsan dan Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Sarawak 2024, di sini semalam.
Sementara itu, Penghulu Kawasan Semariang di sini, Mahidi Pihak, 74, berkata beliau akan menyahut seruan Timbalan Perdana Menteri itu dan akan memastikan setiap rumah di kawasan Semariang mengibarkan Jalur Gemilang sebagai bukti semangat patriotik dan cintakan negara.
Sementara itu, Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan St. Thomas Kuching Lee Hui Ling, 53, memberitahu pelbagai aktiviti telah dirancang dan sedang berlangsung bersempena sambutan Bulan Kebangsaan di peringkat sekolah.
“Pelbagai aktiviti seperti pertandingan lagu patriotik, melukis poster, sajak dan mengantung Jalur Gemilang di bilik-bilik darjah sedang berlangsung di sekolah kami.
“Diharapkan para pelajar dapat menanamkan serta menyemai semangat cintakan negara dengan lebih mendalam, melalui aktiviti-aktiviti kita di sekolah,” ujarnya.
-ZS-