Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Tindakan Lebih Tegas Terhadap Pemandu Positif Dadah – Anthony Loke

By 6 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 6 Ogos (Malaysiaaktif) – Pemandu kenderaan yang dikesan di bawah pengaruh dadah bakal berdepan tindakan lebih tegas termasuk disenarai hitamkan apabila Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dipinda nanti.

Proses meminda akta berkenaan dijangka bermula semasa mesyuarat ketiga persidangan Dewan Rakyat Oktober ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata undang-undang sedia ada belum cukup tegas terhadap pemandu yang mengambil dadah.

“Kita hanya boleh mendakwa mereka sekiranya dia mengakibatkan kemalangan jalan raya sahaja.

“Tetapi kalau seseorang pemandu itu dikesan menagih dadah tidak terlibat kemalangan dia tidak boleh didakwa, hanya digantung lesen sahaja,” katanya.

Anthony Loke bertanya sesuatu kepada seorang pelancong asing yang menaiki bas persiaran yang ditahan dalam operasi bersepadu di Stesen Penguat kuasa JPJ Gombak

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas meninjau Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (bas persiaran dan ekspres) di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Gombak di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran dan Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli.

Mengulas lanjut, Anthony Loke menegaskan pemandu seperti itu mesti dicegah dan dikeluarkan daripada memandu di jalan raya.

“Sekiranya mana-mana pemandu didapati positif dadah walaupun tidak mengakibatkan kemalangan mereka patut didakwa dan dihukum.

“Sekarang ini dibawah Seksyen 45A pemandu yang didapati mengambil alkohol lebih daripada had walaupun tiada kemalangan boleh dipenjarakan sampai dua tahun tapi tidak terpakai kepada penagih dadah,” jelasnya.

-AA-

Tinggalkan komen anda