
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
ALOR SETAR, 6 Ogos (MalaysiaAktif) – Program Padanan Perniagaan Kontraktor dan Vendor Bahan Binaan Bumiputera Negeri Kedah bersama agensi dan syarikat Konsesi Persekutuan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Kedah 2024 mendapat sambutan mengalakkan daripada para kontraktor.
Acara yang berlangsung di Perkarangan Pejabat Syarikat Arch Design Specialist Sdn. Bhd., Langgar, di sini semalam telah dihadiri oleh kira-kira 200 kontraktor bumiputera Negeri Kedah (G1-G7), ahli Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Persatuan Kontraktor Kelas F dan Persatuan Kontraktor Bumiputera.

Pegawai Kewangan Negeri membuat lawatan ke reruai pameran yang terdapat di sini.
Program yang bermula pada pukul 8.00 pagi semalam itu turut dihadiri oleh agensi yang terlibat dengan industri pembinaan seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat Pembangunan Negeri Kedah, Majlis Bandaraya dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah juga turut serta dalam program tersebut.
Pegawai Kewangan Negeri Kedah Datuk Wira Haji Syed Khairol Anuar Syed Abidin ketika merasmikan program tersebut, berkata melalui program ini, para kontraktor dapat mengenali antara satu sama lain.
“Selain itu, program sebegini juga dapat membantu meluaskan jaringan perniagaan serta dapat meningkatkan transaksi perniagaan mereka,” jelasnya.

Taklimat disampaikan oleh KPTC.
Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Kelas F Mohammad Khodri Mohammad Noor yang ditemui di penghujung majlis menyatakan ini adalah satu peluang keemasan untuk mereka mendapatkan maklumat mengenai beberapa agensi yang berkaitan dengan bidang perniagaan mereka.
“Kami para kontraktor mendapat kefahaman yang lebih jelas mengenai sesebuah agensi melalui program taklimat seperti ini,” ujarnya.
Sebanyak lapan agensi telah menyampaikan taklimat berkaitan agensi masing-masing antaranya Bank Negara Malaysia, RHB Bank, Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Syarikat Arch Design Specialist Sdn Bhd, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Edgenta Infrastructure Services Sdn. Bhd. dan THB Maintenance Sdn. Bhd.
-ZS-