
Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)
SHAH ALAM, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 bakal berlangsung di Selangor menawarkan hadiah bernilai RM1 juta kepada pengunjung bertuah.
MSAM 2024 akan berlangsung bermula pada 22 hingga 25 Ogos ini bertempat di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), di sini.

Raja Arshad berucap merasmikan Majlis Jalinan Rakan Korporat MSAM 2024 di SCCC, Shah Alam, semalam.
Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda dalam ucapannya, berkata tema MSAM tahun ini adalah ‘Kukuhkan Hidup Anda di MSAM’, sejajar dengan matlamat PNB yang diperbaharui untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.
“Meneruskan inisiatif ini, elemen pendidikan kewangan dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) akan menjadi tumpuan dalam memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menuntut ilmu dan pendidikan tinggi.
“Penganjuran MSAM berjaya direalisasikan dengan penglibatan dan sokongan padu syarikat-syarikat Pelaburan PNB sebagai Rakan Korporat MSAM yang memainkan peranan penting dalam memastikan penganjuran yang lancar dan tersusun untuk mencapai objektifnya.” katanya ketika berucap di Majlis Jalinan Rakan Korporat yang diadakan di SCCC, semalam.

Rakan Korporat PNB sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024.
PNB turut mengumumkan rakan korporatnya sempena MSAM 2024 dan hadiah keseluruhan yang ditawarkan bernilai hampir RM1 juta kepada individu bertuah.
Antara hadiah yang bakal menjadi tumpuan ialah sebuah pangsapuri servis di Serasi Residences, Putra Heights dan sebuah kenderaan elektrik (EV) BYD Dolphin Standard, Perodua Ativa 1.0L Turbo AV dan Perodua Axia 1.0L AV.
Selain daripada aktiviti lazim berkaitan celik kewangan dan perkongsian ilmu, beberapa program unik MSAM tahun ini termasuk aktiviti pelengkap seperti Festival Muzik Mini, Karnival Makanan Mini (Maybank Islamic MAE-Dan Selera) dan Festival Auto.
-ZS-