Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

10 Pelajar IPT Terima Bantuan Peranti MADANI

By 10 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/ICU JPM Perak

TELUK INTAN, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – Sepuluh pelajar dari keluarga peserta e-Kasih yang menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terpilih menerima Bantuan Peranti MADANI (PERMAI) dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Pegawai Daerah, di sini kelmarin.

Rosnie Aleya Nazirah bersyukur menerima komputer riba baharu

Pengarah Pembangunan Negeri Perak Datuk Haji Shamshuzaman Haji Sulaiman, berkata sumbangan komputer riba itu merupakan antara usaha kerajaan untuk membantu pelajar-pelajar berkenaan meneruskan pengajian dengan lebih berkesan dan seterusnya memperoleh kejayaan cemerlang.

“Program Didik Kasih MADANI: Bantuan Peranti MADANI (PERMAI) itu merupakan inisiatif Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dengan kerjasama strategik daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad,” katanya ketika berucap merasmikan program.

Bama Gopal hadir menerima sumbangan mewakili anaknya

Rosnie Aleya Nazirah, 21, yang sedang menyambung pengajian dalam bidang sastera di Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar amat bersyukur apabila permohonannya kali ini diluluskan selepas gagal mendapat bantuan tersebut pada permohonan sebelum ini.

“Saya bersyukur kerana bantuan komputer riba ini akan dapat memudahkan urusan pembelajaran saya.

“Saya berharap kerajaan akan meneruskan inisiatif ini bagi membantu golongan pelajar yang kurang berkemampuan dari segi kewangan tetapi mempunyai potensi dan semangat untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Bagi Bama Gopal, 45, ibu kepada salah seorang penerima sumbangan, dia berasa gembira dan terharu kerana anaknya berjaya terpilih menerima bantuan peranti tersebut.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana bantuan ini memang begitu membantu kami sekeluarga.

β€œAnak saya Chitra Chellaiyah, 18, baru sahaja mendaftar masuk ke Kolej Komuniti Chenderoh dan saya akan hantar komputer riba ini kepadanya pada hujung minggu,” katanya.

Bantuan PERMAI ini merupakan sumbangan set komputer riba, tetikus tanpa wayar berserta beg.

-AA-

Tinggalkan komen anda