
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA
SHAH ALAM, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Penguasaan terhadap kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan Blockchain (blok rantai) menjadi fokus utama bagi pemetaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) di seluruh negara.
Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Mohd Noor Shahudin, berkata matlamat tersebut bagi memastikan POLYCC lebih dinamik dan kompetitif serta muncul sebagai institusi TVET yang berkualiti, inklusif dan saksama.

Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) ke-25 yang berlangsung di Shah Alam semalam.
Katanya, fokus turut diberikan kepada penawaran micro-credentials (pensijilan mikro) dan penubuhan pusat Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) di Politeknik Ungku Omar dan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA).
Jelas Mohd Noor, POLYCC dengan konsep ‘TVET for ALL’ akan terus direncana secara radikal dan kolektif dalam ekosistem TVET Malaysia.
“Berdasarkan penawaran Unit Pusat Universiti (UPU) 2024/2025 hampir 32,000 pelajar baharu telah diterima untuk mendaftar pada sesi kemasukan kali ini dan jumlah ini merupakan sejarah besar buat jabatan.
“Malah Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) sentiasa mendapat sambutan di luar jangka sehingga mencecah penyertaan 3 juta apabila berjaya mencapai sasaran hampir 200,000 penyertaan setiap tahun,” katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen PSA Kali ke-25, di sini semalam.

Mohd Noor menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan PSA semasa Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) ke-25 yang berlangsung di Shah Alam semalam.
Sementara itu, Pengarah PSA Zainah Rujihan memaklumkan seramai 43,572 graduan pelbagai bidang berjaya dilahirkan sejak penubuhan politeknik itu pada tahun 1997.
“Pada majlis konvokesyen kali ini seramai 833 graduan menerima ijazah, diploma dan sijil dengan 12 daripadanya graduan Sijil Kemahiran Penyenggaran Mekanikal yang merupakan orang kurang uapaya (OKU) masalah pendengaran dan tujuh lagi graduan techno-huffaz yang khatam hafazan 30 juzuk al-Quran.
“Turut menerima sijil 12 graduan Sijil Kejuruteraan Elektrik bawah Program PSH Kursus Terlanggan yang merupakan kursus kerjasama antara PSA dan Elektrisola (M) Sdn Bhd bagi tujuan meningkatkan pembangunan kerjaya staf melalui program reskilling (pemahiran semula) dan upskilling (peningkatan kemahiran),” ujarnya.
-ZS-