
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Mohd Rizal Matasan/Noorsiah Mahmud (Sabah)
MEMBAKUT, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – Kehebatan dan kepakaran anjing Unit K9 menarik perhatian masyarakat Membakut untuk melihat secara langsung dan mengenali anjing ini dalam menjalankan tugas mereka.
Menurut Pemegang K9 Bahagian Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lois anak Jambai, anjing bernama Lord@Marley baka German Shepherd yang dibawa khas dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Lahad Datu berperanan membantu dalam keselamatan dan penyiasatan.

Sekitar suasana Demonstrasi Anjing K9 pada program Karnival Kita Madani 8 hingga 10 Ogos 2024, di Membakut.
“Lord mempunyai kelebihan dalam mengesan penjenayah melalui bau peluh, yang memudahkan pencarian dan penangkapan suspek.
“Dalam demonstrasi yang berlangsung, Lord berjaya mengesan dan menjejak suspek sejurus menghidu baju suspek,” katanya ketika ditemui pada program Demonstrasi PDRM Anjing K9 sempena Karnival Kita Madani di sini pada Sabtu.
Lois menambah bahawa keistimewaan anjing K9 terletak pada deria bau yang tajam serta latihan khusus yang mereka terima, yang sangat membantu dalam pelbagai tugasan berkaitan keselamatan.
Seorang pengunjung, Fatimah Maisarah Omar, 25, berasa sangat teruja kerana berpeluang melihat dengan lebih dekat anjing K9 dan menyaksikan kemampuannya menjalankan tugas secara langsung.

Fatimah (kiri) dan Stella mengambil gambar kenangan bersama Lord K9.
“Ini merupakan pertama kali saya melihat anjing K9 secara langsung, sebelum ini hanya melalui televisyen.
“Saya teruja menyaksikan bagaimana anjing ini menggunakan deria tajamnya untuk mengesan penjenayah,” kongsinya.
Seorang lagi pengunjung, Stella Humphrey, 25, menyatakan perasaan kagum terhadap deria bau anjing K9 yang sangat tajam berbanding manusia.
“Saya harap anjing K9 dibawa lagi ke daerah ini supaya masyarakat dapat mengenali lebih dekat kemampuan luar biasa anjing ini,” ujarnya.
-ZS-