
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/MPTI
TELUK INTAN, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) giat melaksanakan pelbagai usaha dan kempen kebersihan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu pembuangan sampah haram di kedua-dua daerah di bawah pentadbirannya iaitu Hilir Perak dan Bagan Datuk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar Woo Kah Leong (berbaju putih, seluar jeans) turut hadir ketika program turun padang.
Yang Dipertua MPTI Zairul Akmal Kasim, berkata MPTI memandang serius isu tersebut dan telah melaksanakan pelbagai usaha termasuk menutup beberapa lokasi pembuangan sampah haram, meletakkan papan tanda larangan membuang sampah di lokasi kawasan khas, menguar-uarkan notis pemakluman kompaun dan melakukan program turun padang di tempat aduan bermasalah.
“Selain itu, baru-baru ini MPTI turut melancarkan Operasi Pemantauan Sampah Haram yang dilaksanakan oleh anggota penguatkuasa dengan mengenakan pakaian preman,” ujarnya ketika ditemui pada Sesi Edaran Potret Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, di sini kelmarin.

Zairul Akmal (kiri) ketika menerima edaran potret rasmi di pejabatnya.
Tambah Zairul Akmal, pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mampu untuk menangani keseluruhan isu tersebut secara bersendirian justeru kerjasama dan komitmen pelbagai jabatan dan agensi kerajaan amat diperlukan bagi memastikan masalah pembuangan sampah haram dapat ditangani dengan bijak.
-ZS-