
Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari/Ashikin Mustafa (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 18 Ogos (Malaysiaaktif) – Konvoi bot dan edaran Jalur Gemilang kepada penduduk setempat yang diadakan hari ini adalah satu usaha bagi menyemarakkan lagi inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

Edaran Jalur Gemilang bagi menyemarakkan Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang di Kampung Sayang.
Kemeriahan di sepanjang laluan Sungai Sedili Besar yang akan melalui kampung-kampung di persisiran sungai turut diiringi oleh pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Sebanyak tiga buah bot digunakan untuk menyusuri sungai bermula dari persisiran perkampungan Kampung Sayang sehingga di Tanjung Sedili.
Menurut Ketua Kampung Sayang Muhammad Iffat Asmadi, 34, program menyusuri sungai ini mengembalikan nostalgia lama di mana orang zaman dahulu menggunakan sungai sebagai laluan pengangkutan utama.
“Sungai Sedili Besar ini merupakan nadi pengangkutan utama untuk penduduk yang tinggal di pedalaman.

Para peserta bergambar di lokasi persinggahan Kampung Sayang.
“Apabila jalan raya telah ada, maka perjalanan melalui sungai menjadi pilihan kedua,” katanya.
Program telah dirasmikan oleh Mohamad Nazren Nasha Abu Samah, wakil rasmi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi.
-ZS-