Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Jalur Gemilang Guna Botol Terpakai Bina Kreativiti Pelajar

By 22 Ogos 2024September 29th, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ali Imran/Shaik Mohamad Fikri (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Pelbagai aktiviti berunsurkan patriotik diadakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan peringkat sekolah-sekolah di daerah ini bagi memupuk semangat kecintaan terhadap negara dalam kalangan generasi muda.

Persembahan lagu patriotik yang diiringi oleh Kelab Esemble Recorder SK Gong Badak.

Antaranya, para pelajar dan guru di Sekolah Kebangsaan Gong Badak telah menghasilkan Jalur Gemilang gergasi menggunakan 1,500 botol terpakai bagi memanfaatkan botol minuman itu sekali gus menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

Ketua Komunti MADANI Gong Badak Khairol Azmie Embong, melahirkan rasa bangga dengan usaha yang dilakukan oleh pihak sekolah bagi memupuk semangat perpaduan dan kerjasama yang merupakan elemen penting dalam kemakmuran sesebuah negara sesuai dengan pepatah ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.

“Selain itu, aktiviti ini juga dapat membina kreativiti pelajar yang dapat menyumbang kepada pembentukan fizikal dan perkembangan emosi anak-anak pelajar pada hari ini,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif sempena Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI@Merdeka, di sini kelmarin.

Perarakan Jalur Gemilang melalui jalan sekitar kawasan sekolah.

Guru Besar Abd Rahim Abd Rahman dalam ucapan penutupnya, menekankan pentingnya semangat perpaduan dan semangat kerjasama dalam mencapai kemerdekaan dan mempertahankan kedaulatan negara ditanam dalam jiwa setiap insan.

“Inisiatif yang dilakukan oleh pelajar sekolah dengan bantuan guru untuk menghasilkan Jalur Gemilang dengan mengitar semula botol terpakai ini wajar dipuji dan dihargai.

“Sambutan Bulan Kebangsaan pada kali ini bukan sahaja memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar malah mengeratkan hubungan antara warga sekolah dan komuniti setempat,” katanya.

Turut diadakan persembahan lagu-lagu patriotik, pertandingan deklamasi sajak dan pidato bertemakan kemerdekaan bagi mencungkil bakat para pelajar dan memeriahkan lagi suasana.

-ZS-

Tinggalkan komen anda