
Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Kejayaan memenangi pingat emas dalam acara beregu campuran di SUKMA XXI Sarawak memahat kenangan yang sudah pasti tidak akan dilupakan atlet pentaque Sarawak Nur Durratul Sahira Yazit.
Berusia 21 tahun, graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang pernah membuat penampilan pertamanya di SUKMA XX Kuala Lumpur kali ini beraksi cemerlang di kampung halamannya sendiri.
“Saya lahir dan dibesarkan di Kampung Santubong dan Arena Petanque Sarawak di mana berlangsungnya acara petanque adalah kampung saya,” katanya semalam.
Pasangan beregunya, Akhtar Shauqi Aini Mohd Dom, 17, sangat gembira apabila berjaya membantu Nur Durratul meraih pingat pertamanya.
“Saya pula pernah memenangi pingat gangsa pada SUKMA pertama saya dua tahun lalu malah saya juga mewakili Malaysia pada Sukan SEA 2023 di Kemboja dan meraih pingat gangsa pada peringkat Asia Tenggara,” ujarnya yang berazam untuk terus menyumbang pingat untuk Sarawak di edisi SUKMA akan datang.
Nur Durratul dan Akhtar Shauqi menewaskan pasangan Perak, Mohamad Yusman Haizad Mohamad Yusof dan Nur Zafirah Zafri.
-ZS-